Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara akhirnya memberikan kenyataan mengenai video yang menjadi viral yang melibatkan beliau dan isterinya.
Tanpa memberikan banyak butiran tentang kejadian dalam video tersebut, beliau menyatakan bahawa perkara tersebut akan diserahkan kepada Mahkamah Syariah.
“Saya mempunyai prinsip untuk tidak mengamalkan perbuatan mengaibkan sesiapa termasuklah isteri saya. Oleh itu, saya tidak akan mengaibkan dia.
"Ini berkaitan masalah rumah tangga, dia masih isteri saya dan saya mempunyai sebab-sebab tertentu untuk meneruskan aduan berkaitan dengan isteri saya ke Mahkamah Syariah.
"Saya serahkan kepada peguam, saya lebih selesa proses keadilan perlu melalui undang-undang dan mahkamah,” katanya menerusi video sidang akhbar di TikTok pada Khamis.
Beliau pada masa yang sama menjelaskan bahawa masalah dalam rumah tangganya bukanlah sesuatu yang baru dan telah berlarutan selama hampir tiga tahun.
Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa mereka sudah tidak lagi tinggal di bawah satu bumbung selama enam bulan yang lalu.
Musa menegaskan bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat spekulasi negatif tentang kejadian tersebut.
“Saya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan tidak perlu saya memberikan penerangan kepada media tentang apa yang berlaku.
“Saya tak mahu beri keterangan lanjut memandangkan laporan yang dibuat oleh saya dan pihak isteri telah disebarkan. Jadi biarlah pihak polis yang menjalankan siasatan,” katanya.
Polis telah mengesahkan bahawa mereka telah membuka kertas siasatan berhubung satu kejadian yang melibatkan Musa dan isterinya, yang rakaman video tersebut telah menjadi viral di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, mengesahkan bahawa kertas siasatan tersebut akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.
Sumber : Sinar Harian
0 Comments