Pelaksanaan konsep Malaysia Madani harus menekankan keseimbangan komuniti dalam pembangunannya agar semua golongan merasakan kemajuan yang dicapai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa mercu tanda pembangunan suatu masyarakat tidak semestinya melibatkan pembinaan bangunan tinggi, tetapi juga melibatkan keseimbangan antara golongan atasan dan rakyat.
"Antara rumah mahligai dan rumah rakyat, antara restoran mewah dan gerai rakyat indah dan bersih, ada kehijauan ada taman-tamannya untuk rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Landskap Negara 2023 (HLN2023) di Taman D.R. Seenivasagam, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.
Perdana Menteri juga berkata langkah itu harus bermula daripada peringkat pihak berkuasa tempatan setiap negeri memastikan bahawa seluruh rakyat tanpa mengira kaum, diberi pembelaan dan hak mereka terpelihara.
"Saya beri contoh di Kuala Lumpur, ada puluhan projek (pembangunan) seperti ini, ada Twin Towers, KL Towers, tapi gerainya bobrok seperti tahun-tahun 50an.
"Saya tidak mahu Malaysia jadi contoh hanya dengan bangunan paling tinggi, jambatan paling panjang, gedung paling besar, tapi antaranya… rakyatnya paling menderita," katanya.
Beliau turut mengingatkan semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis PBT di seluruh negara supaya meneliti semula pelan pembangunan mereka agar misi pembangunan seimbang itu dapat dijayakan.
Sementara itu Anwar berkata kerajaan juga akan memastikan konsep pembangunan dalam negara di tambah baik, dengan hak serta kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.
"Tidak akan ada siapapun yang (boleh) merasa bebas menggondol hak rakyat, dan merasa (mereka) boleh terlepas. Saya akan pastikan hal ini tidak berlaku.
"Berikan kesempatan kerajaan bersihkan negara daripada perompak besar dan tumpu pada kepentingan rakyat," katanya.
Sumber : Harian Metro
0 Comments