Selepas lebih setahun menjadi tanda tanya, pelawak dan pengacara terkenal, Shuk Sahar akhirnya mengesahkan bahawa beliau telah bercerai dengan isterinya, Rossa Sera.
Shuk, yang sebenarnya bernama Mohammad Shukri Mohamed Sahar, berpisah secara sah melalui perceraian talak satu yang dilafazkan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu.
Menurut Shuk, keputusan untuk berpisah tersebut dibuat secara bersepakat selepas mereka pulang dari mengerjakan ibadah umrah pada awal tahun ini.
"Betul kami telah sah bercerai pada 22 Mac lalu dengan talak satu.
"Selepas pulang umrah bersama, kami duduk berbincang, bercakap secara elok dan membuat keputusan untuk bercerai. Kami berpisah dengan baik," katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat.
Meskipun tiada lagi ikatan, Shuk memberitahu hubungannya dengan Sera atau nama sebenarnya Rossalennah Natassyiah Asshaferah masih baik demi dua orang cahaya mata mereka.
Malah, Shuk menjadikan perceraian itu sebagai pengajaran buat dirinya untuk menjadi seorang lelaki yang lebih baik di masa akan datang.
"Sekarang ini saya hanya fokus kepada anak-anak sahaja. Mereka (anak-anak) tinggal di Sabah bersama ibu Sera sebab anak yang sulung sudah mula sekolah darjah satu.
"Apa yang berlaku ini menjadi teladan buat saya memperbaiki diri. Selama ini kita cuba cari haluan masing-masing untuk perbetulkan diri sendiri.
"Semoga saya akan menjadi orang yang lebih di masa akan datang," ujar.
Shuk juga menambahkan bahawa dia tetap menjaga hubungan baik dengan Rossa Sera untuk kebahagiaan anak-anak mereka. Dia juga berharap agar tidak ada pihak yang menyalahkan sesiapa dalam proses perceraian mereka.
"Saya sentiasa berkomunikasi dengan Sera untuk kepentingan anak-anak. Kami saling memaafkan dan saya berharap tiada pihak yang menyalahkan mana-mana individu dalam kes ini," katanya.
Shuk, yang merupakan seorang selebriti di media sosial, mempunyai hampir 7 juta pengikut di TikTok dan dikenali kerana mempromosikan produk kecantikan sendiri di platform tersebut.
Sumber : mStar Online
0 Comments