Ticker

6/recent/ticker-posts

Simpanan jadi cagaran, tiada peruntukan dalam Akta KWSP , kata Profesor Dr Nik Ahmad Kamal

 


Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dari Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN) menyatakan bahawa Seksyen Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991 perlu dipinda sebelum diperkenankan untuk menggunakan wang persaraan sebagai cagaran untuk pinjaman bank. 


Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan polisi baru untuk membolehkan penggunaan KWSP sebagai cagaran tidak sah tanpa pindaan pada akta yang sedia ada.


"Jika merujuk kepada Seksyen 51 Akta KWSP 1991, memang tiada peruntukan yang membolehkan wang simpanan itu dicagarkan kecuali perintah pelucutan hak mahkamah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).


"Sekiranya polisi cagaran KWSP kepada bank ingin dilaksanakan kerajaan, maka Seksyen 51 itu perlu dibawa ke Parlimen untuk dipinda terlebih dulu.


"Ia tidak perlu dipinda jika ada dinyatakan menteri boleh membenarkan (kaedah ini) untuk tujuan tertentu kerana tertakluk kepada kuasa menteri tetapi, saya melihat tidak ada peruntukan khusus kepada menteri untuk mengatasi Seksyen 51 itu," katanya kepada Harian Metro.



Beliau mengulas keputusan kerajaan yang bersetuju menjadikan KWSP sebagai cagaran pinjaman bank kepada pencarum yang terdesak.


Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, sebarang keputusan kerajaan untuk membenarkan kaedah ini dilaksanakan perlu mengambil kira semua aspek secara menyeluruh termasuk tidak mengenepikan tujuan kewujudan Seksyen 51.


"Sama ada pindaan ini perlu dibuat atau tidak tertakluk kepada pandangan umum.


"Namun, secara asasnya, jika pengecualian Seksyen 51 hendak dibuat, ia perlu mengambil kira rasional dan tujuannya diwujudkan.


"Ini bermakna, tujuan peruntukan Seksyen 51 itu diwujudkan hendaklah diambil kira terlebih dulu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.




Berdasarkan maklumat yang dinyatakan dalam laman sesawang KWSP, mengacu kepada Seksyen 51 (1), caruman dan deposit tidak boleh diserah hak atau ditahan walaupun apa-apa kecuali yang terdapat dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain boleh diserah hakkan, dipindahkan, ditahan, disekuesterkan atau dilevikan ke atasnya, bagi atau berkenaan dengan apa-apa hutang atau sebarang tuntutan. 


Pegawai Pemegang Harta juga tidak mempunyai hak untuk mengambil sebarang jumlah wang atau amaun yang berkaitan dengan KWSP.


Namun, Seksyen 51 (2) memperuntukkan bahawa apa-apa yang terdapat dalam subseksyen (1), kredit seseorang ahli KWSP boleh dilucutkan hak jika kredit ahli itu tertakluk kepada perintah pelucutan hak oleh mahkamah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).


Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar kaedah ini ditawarkan kepada pencarum KWSP yang memerlukan pinjaman kewangan dengan menggunakan KWSP sebagai cagaran. 


Walau bagaimanapun, cadangan ini tidak mendapat sokongan ramai pihak termasuk pakar ekonomi dan pencarum sendiri kerana ia akan menambahkan beban kewangan mereka yang sudah terdesak dengan komitmen bayaran bulanan dan kadar faedah yang dikenakan oleh bank.


Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments