Puteri Sarah Liyana, seorang pelakon, telah mengemukakan bukti baharu bahawa dia pernah dipukul oleh suaminya, Syamsul Yusof pada tahun 2020. Ini menyebabkan dia keluar dari rumah.
Beliau membuat kenyataan tersebut di hadapan Hakim Syariah Akmaluddin Ilyas semasa prosiding tuntutan cerai di Mahkamah Rendah Syariah.
Puteri Sarah menambahkan bahawa bukti baharu itu dikemukakan selepas Syamsul enggan melafazkan cerai terhadapnya pada hari itu.
"Sebolehnya saya tak mahu buka cerita mengenai kejadian itu, tapi disebabkan Syamsul tidak mahu melepaskan saya maka saya dedahkan kepada mahkamah.
"Sebelum ini saya bertindak berdiam diri kerana masih menyimpan rasa sayang. Tambah pula, bila orang kata saya buka aib ketika itu, saya tak nak buat apa-apa tindakan atau buat laporan polis. Tiada siapa yang tahu mengenai perkara itu.
"Namun yang selamatkan saya ketika itu ialah ibu mentua saya. Dia yang keluarkan saya daripada rumah dua tahun lalu. Malah Syamsul pun tahu kenapa (keluar rumah)," katanya.
Menurut peguam yang diwakili Puteri Sarah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader, insiden dipukul itu adalah salah satu fakta anak guamnya keluar dari rumah selepas didakwa nusyuz oleh Syamsul.
"Kejadian dipukul antara fakta mengapa Sarah membuat keputusan keluar rumah. Kami kemukakan fakta ini selepas Syamsul menuduh anak guam saya bertindak keluar dari rumah (nusyuz).
"Pihak kami perlu memberikan penerangan kepada mahkamah apa yang sebenarnya berlaku. Namun begitu, mengenangkan hubungan baik dengan keluarga mentua dia kembali semula ke rumah.
"Jadi andaian anak guam saya keluar ke rumah tanpa izin adalah tidak betul sebab anak guam saya ada alasan kukuh," katanya.
Puteri Sarah Liyana dan suaminya, Syamsul Yusof, telah diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas membuat arahan ini selepas kedua-dua belah pihak hadir di hadapannya semasa prosiding tersebut.
Sebelum ini, pada 16 Januari lalu, Puteri Sarah selaku plaintif telah memfailkan permohonan penceraian tersebut di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Puteri Sarah telah memfailkan tuntutan cerai kerana krisis rumah tangga yang berlaku sejak empat tahun lalu tidak dapat diselesaikan dengan baik. Selain itu, dia enggan menerima kehadiran Ira Kazar sebagai isteri kedua Syamsul Yusof setelah pengakuan perkahwinan mereka pada awal tahun ini.
Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul Yusof telah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4 tahun.
Sumber :Harian Metro
0 Comments