Banyak ibu bapa yang bimbang dengan kelakuan anak-anak mereka yang semakin pandai mencari pasangan hidup menggunakan aplikasi yang terdapat di telefon pintar.
Situasi ini semakin merisaukan apabila ramai kanak-kanak, terutama yang berusia antara 13 hingga 15 tahun, semakin ketagih dan terpesona dengan beberapa aplikasi perkenalan di media sosial sehingga terjerumus kepada perbuatan yang tidak bermoral.
Rina, seorang ibu dan eksekutif syarikat swasta yang berusia 40 tahun, juga mengalami situasi yang sama dengan anak sulung perempuannya yang berusia 14 tahun.
Rina menyedari perubahan dalam tingkah laku anaknya apabila dia banyak menghabiskan masa berseorangan di dalam bilik sambil bermain telefon bimbit.
Dia mengaku bahawa tingkah laku ini semakin meningkat dan berterusan setiap hari bermula dari anaknya pulang dari sekolah sehingga ke tengah malam.
“Anak saya seperti orang sedang angau. Sentiasa dengan telefon tidak kira waktu makan, menonton televisyen dan berada dalam kereta.
“Perkara ini terbongkar apabila saya nampak dia sedang mesej seorang kenalan lelaki menerusi Omi Chat sebelum mereka beralih ke aplikasi WhatsApp. Lebih mengejutkan lagi apabila dia menggunakan panggilan ‘bee’ dan ‘shuben’ selain masing-masing berkongsi gambar rutin harian termasuk rakaman video sedang tidur.
“Mujur saya dapat kesan awal dan dia (anak) juga mendakwa baru mengenali lelaki yang seusianya hanya dalam tempoh seminggu,” ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.
Pengalaman sama turut dikongsi seorang ibu dikenali Aireen, 43, apabila anak lelakinya yang baharu berusia 10 tahun sudah mahir menggunakan aplikasi LitMatch untuk mencari teman-teman di media sosial.
“Memang tak percaya dengan usianya yang masih kecil sudah terpengaruh dengan aplikasi-aplikasi sebegini.
“Mujur dapat kesan awal. Anak mendakwa aplikasi tersebut kini popular dan ramai dalam kalangan pempengaruh media sosial yang menggunakannya untuk mencari kenalan selain mudah dan pantas,” jelasnya.
Sumber : Kosmo! Online
0 Comments