Apa yang berlaku adalah kerana risaukan akan kesihatan suami menyebabkan seorang wanita bertindak menghalang Proton Wira dipandu lelaki itu di persimpangan lampu isyarat di Batu 1 Jalan Pantai Port Dickson di sini, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, wanita berusia 32 tahun itu bertindak sedemikian selepas suaminya yang berusia 58 tahun tidak menghiraukan nasihatnya supaya tidak keluar rumah.
"Suami isteri ini adalah warga Indonesia tampil ke balai polis Port Dickson pada hari ini untuk memberi penjelasan sebenar kejadian berlaku selepas mengetahui ia tular di media sosial.
"Pasangan itu yang tinggal di Port Dickson memberitahu sebelum kejadian mereka sudah bertengkar di rumah kerana si suami hendak pergi ke rumah anak mereka di Teluk Kemang," katanya dalam kenyataan kepada media tadi.
Namun menurutnya, wanita itu menghalang suaminya keluar memandu kerana bimbangkan keadaan kesihatan yang selalu terjejas.
Muhamad Mustafah berkata, sebelum ini lelaki itu baru saja mendapat rawatan di Hospital Port Dickson akibat pelbagai penyakit.
"Difahamkan lelaki itu tetap keluar tanpa menghiraukan isterinya, namun dia terus keluar dari rumah dengan memandu Proton Wira miliknya.
"Tanpa disangka, wanita itu kemudiannya membonceng motosikal ditunggang jirannya dan akhirnya dapat mengesan lelaki itu di lampu isyarat Batu 1 Jalan Pantai Port Dickson," katanya.
Beliau berkata, wanita itu kemudian bertindak menghalang kereta dipandu suaminya untuk meneruskan perjalanan yang menyebabkan videonya tular melalui media sosial.
Menurutnya, pasangan itu kemudiannya memohon maaf atas perbuatan dilakukan dan mengakui ia boleh membahayakan diri sendiri dan orang awam lain.
Sebelum ini video aksi pasangan itu tular di Twitter dan menerusi ciapan yang dimuat naik itu, pemilik akaun menyatakan ' tak tahu apa yang berlaku, hope (harap) dipermudahkan segala urusan akak tu'.
Susulan itu polis menggesa individu terbabit tampil menjelaskan keadaan dan situasi yang berlaku.
Sumber : Harian Metro
0 Comments