Ticker

6/recent/ticker-posts

Dr Rafidah beri teguran terbuka resipi sambal hijau Khairulaming

 


Ketika jutaan pengikut media sosial Khairulaming menantikan perkongsian resipi harian sepanjang Ramadan, seorang pakar perubatan terkenal, Dr Rafidah Abdullah, telah memberikan teguran kepada personaliti masakan itu.


Melalui teguran terbukanya di platform Twitter, Dr Rafidah telah mengutarakan kebimbangannya mengenai pilihan hidangan yang dikongsikan oleh Khairulaming yang dianggap tidak sihat.


“Salam Khairulaming. Saya berharap masakan akan datang adalah makanan sihat.


“Banyak sangat minyak ni. Goreng is not good. Harap lebih peka dengan masalah rakyat Malaysia.


“Kita tidak mahu kesihatan makin teruk, negara makin merudum,” katanya menerusi Twitter pada Sabtu malam.


Teguran tersebut diberikan berkenaan dengan perkongsian menu puasa pada hari kesembilan oleh Khairulaming atau Khairul Amin Kamarulzaman, iaitu sambal hijau bilis dan telur dadar.


Dalam video yang dikongsikan, Khairulaming telah memaparkan cara-cara menyediakan hidangan tersebut di mana semua bahan seperti ikan bilis, cili hijau besar, cili padi hijau, bawang merah, dan tomato hijau digoreng dalam minyak yang banyak dua kali ganda. Selain itu, telur dadar juga turut disediakan dengan cara digoreng dalam minyak yang panas sehingga menjadi rangup di luar dan gebu di dalam.




Untuk rekod, tahun 2023 merupakan tahun ke-6 Khairulaming berkongsi pelbagai jenis hidangan dan minuman di media sosial menerusi buah tangan signaturnya, '30 Hari 30 Resipi'.


Sejak enam tahun lalu, resipi mudah dan ringkas daripada Khairulaming menjadi fenomena dan menjadi kegemaran ramai.


Teguran yang diberikan oleh Dr Rafidah terhadap personaliti media sosial yang disayangi ramai itu telah menerima pelbagai pandangan dan reaksi daripada netizen.


“Dia ni doktor. Prihatin dengan kesihatan rakyat Malaysia. Dia mesti tahu statistik penyakit di Malaysia ni apa, tinggi ke rendah ke. Sebab itu dia tegur,” kata netizen.


Namun ramai juga yang tidak bersetuju dengan kebimbangan yang dibangkitkan Dr Rafidah kepada Khairulaming.


“Tak adillah macam ini doktor. Sembang tentang masalah rakyat Malaysia, pernah doktor survey cafeteria hospital kerajaan jual makanan yang bagaimana? Kalah level minyak dan gula dalam makanan KA ini.




“Pertama sekali, KA bukan content creator untuk makanan sihat. Ada diet coach yang kongsikan healthy meals, boleh tengok resepi mereka. Kuantiti bahan tu rasanya kita boleh adjust sendiri, tak perlu ikut pun.


“Salam Dr Rafidah. Saya berharap anda buat video masakan makanan sihat. Tidak perlu tunggu orang lain memandangkan saudari juga ada followers yang ramai. Harap lebih peka dengan masalah ini. Kita tidak mahu kesihatan makin teruk, negara makin merundum,” kata sebahagian netizen lain di Twitter.


Sumber : mStar Online



Post a Comment

0 Comments