Ticker

6/recent/ticker-posts

Jelmaan ‘sahabat baik’ pulang ke asrama, tak banyak cakap… muncul dalam mimpi berpakaian putih sambil merenung seolah-olah ingin memberitahu sesuatu....

 



CUTI sekolah selama seminggu sempena Aidilfitri sudahpun berakhir.


Ini bermakna, Aiza (bukan nama sebenar) harus pulang sehari awal memandangkan dia menginap di asrama.


Selepas waktu zohor pada hari terakhir cuti itu, Aiza bersama ibu bapa dan dua adiknya yang masih kecil bertolak dari rumah mereka di Maran, Pahang menuju ke sekolahnya, sebuah sekolah berasrama penuh yang terletak di negeri sama.


Selepas bersalaman dengan keluarganya, Aiza pun mengangkat beg menuju dorm yang dihuninya di tingkat tiga.


Ketika itu, suasana riuh dengan suara para penghuni asrama yang becok bercerita mengenai kisah raya masing-masing.


Aiza segera mempercepatkan langkah kerana dia juga tidak sabar mahu berkongsi cerita dengan sahabat baiknya, Mariam (bukan nama sebenar).


"Pasti Mariam dah sampai dorm... rumahnya tak sejauh rumah aku," bisik hati kecil Aiza.


Sewaktu Aiza melangkah masuk ke dalam dorm, kelihatan susuk tubuh sahabat baiknya itu sedang sibuk mengemas pakaian di dalam almari.


"Assalamualaikum... hai, rindunya dekat kawan aku ni! Lama dah ke kau sampai Yam?" tanya Aiza sambil melabuhkan punggungnya di atas katil bersebelahan dengan katil Mariam.



Mariam menoleh dan mengukir segaris senyuman kepada Aiza sebelum sambung mengemas.


"Oh... tak ada lama mana pun," jawab Mariam ringkas.


Aiza hanya memandang Mariam yang sibuk mengemas tanpa menghiraukan kehadirannya.


"Eh sibuk betul Yam ni. Pelik, kenapa dia tak peluk aku macam selalu kalau lama balik kampung. Lagi satu, kenapa dia tak jawab salam aku?" pelbagai persoalan bermain di fikiran Aiza.


"Ahh mungkin dia penat kot," Aiza menyedapkan hati sendiri.


Selepas siap mengemas barangnya, Aiza pergi ke tandas yang terletak di tengah-tengah deretan dorm untuk membersihkan diri sebelum turun ke dewan makan dan surau untuk solat maghrib berjemaah.


Ketika kembali ke dalam dorm untuk mengambil telekung, dia melihat Mariam sedang berbaring di atas katil.


"Yam, jom siap-siap turun dewan makan. Dah pukul 6.30 petang. Nanti tak sempat makan pula sebelum ke surau," ajak Aiza.


"Aiza, aku macam tak larat. Lagipun aku uzur. Tak apalah, kau turun dulu... aku alas perut dengan roti je. Nanti aku tunggu kau dekat bilik study aje ya," balas Mariam.


Aiza hanya mengangguk dan dia pergi ke dewan makan dengan rakan dorm yang lain.


Selesai solat maghrib dan isyak berjemaah di surau, Aiza pun menuju bilik study yang terletak di hujung. Kelihatan Mariam sudah mula menelaah buku rujukan Kimia.


Aiza menarik kerusi dan duduk di hadapan Mariam. Mereka menelaah bersama-sama seperti biasa sehingga waktu ulang kaji tamat dan berjalan beriringan menuju dorm.


Tepat pukul 11.30 malam, lampu bilik di setiap dorm dipadamkan menandakan semua penghuni perlu tidur untuk persediaan ke sekolah keesokan hari.



Aiza yang kepenatan terus terlelap dan dibuai mimpi. Namun dalam mimpinya, dia melihat Mariam berpakaian serba putih dan berada di kawasan yang lapang sambil merenungnya kosong tanpa kata.


Puas dipanggil, Mariam hanya mengunci mulut. Aiza cuba mendekati Mariam, namun gadis itu seolah-olah semakin jauh.


Dia berlari mahu mendapatkan Mariam sehingga terjatuh.


"Maryam! Subhanallah... mimpi rupanya," ujar Aiza. Dia memusingkan badannnya menghadap katil Mariam.


"Eh? Katil kosong... Mana Mariam pergi? Takkan dia berani pergi bilik air seorang diri kot?" Aiza tertanya-tanya sendiri.


Lama dia duduk di atas katil sambil menunggu Mariam. Jam ketika itu menunjukkan hampir pukul 5.30 pagi.


"Agaknya Mariam terus mandi kot... biasanya waktu ini ada yang dah masuk toilet tak nak berebut. Takpelah, baik aku pun mandi terus. Setengah jam lagi masuk subuh dah," bisik hati Aiza.


Dia segera menuju ke tandas untuk mandi. Sebaik melangkah masuk, kelihatan susuk tubuh Mariam sedang mencuci muka di singki.


"Awalnya mandi... kenapa tak kejut aku Yam? Berani pula kau," tegur Aiza. Ketika itu belum ada sesiapa pun di tandas, kecuali Mariam.


"Aku dah kejut kau Za... tapi kau 'tidur mati'. Malas aku kacau sebab fikir kau penat. Aku ingat nak kejutkan lepas siap mandi. Tapi kau dah bangun, tak apalah," jawab Mariam sambil mencuci muka tanpa memandang Aiza.


Aiza pun meminta diri untuk masuk ke bilik mandi. Selepas siap membersihkan diri, Mariam sudahpun tiada.


"Eh... kenapa masih tak ada orang lain masuk mandi? Biasa waktu-waktu macam ni, tandas dah bising macam pasar!" Aiza kehairanan namun dia terus melangkah menuju ke dorm.


Ketika itu, Cikgu Asyikin dan Ustazah Maisarah, warden untuk asrama pelajar perempuan pun sedang menuju ke dorm dihuninya.


"Aiza... eloklah kamu dah bangun. Kami baru nak kejutkan kamu," ujar Ustazah Maisarah.


"Kenapa Ustazah, Cikgu?" tanya Aiza kehairanan.


"Macam ni... kami harap kamu bertenang dengar apa yang nak disampaikan. Mariam... dia meninggal dunia. Dia kemalangan jalan raya sewaktu nak balik ke asrama petang tadi. Tapi tak dapat diselamatkan, dia menghembuskan nafas terakhir di hospital pukul 3 pagi tadi," suara Ustazah Maisarah tersekat-sekat menyampaikan khabar duka kepada Aiza.


"Aiza, kamu siap-siap. Kita ziarah arwah Mariam. Sekarang dah hampir pukul 4 pagi. Kami dah minta kebenaran ibu bapa kamu," sambung Cikgu Asyikin.


Aiza seperti tidak percaya dengan apa yang disampaikan oleh kedua-dua wardennya.


"Habis tu, siapa di bilik air tadi? Patutlah tiada orang mandi... rupanya baru pukul 3.30 pagi," Aiza bermonolog sendirian.


Segera dia teringat kejadian yang berlaku ketika dia tiba di dorm, perbualan ringkasnya dengan Mariam ketika di bilik study dan mimpinya melihat gadis itu berpakaian serba putih.


"Patutlah kau macam lain, Yam. Patutlah aku mimpikan kau. Patutlah kau 'kejutkan' aku. Rupanya kau nak beritahu sesuatu dekat aku, Yam," Aiza hanya mampu berkata-kata dalam hati.


Laju air matanya turun membasahi pipi. Tanpa segan, dia terus memeluk kedua-dua wardennya dan teresak-esak. Tidak diceritakan apa yang dialaminya kepada dua guru wanita tersebut.


Jenazah Mariam selamat dikebumikan sekitar pukul 9 pagi.


Hari yang sepatutnya Aiza dan Mariam memulakan sesi persekolahan, namun ia menjadi hari perpisahan yang tidak akan dilupakan Aiza sampai bila-bila.


"Mariam... rehatlah kau di sana. Terima kasih jadi sahabat baik aku sejak kita sama-sama tingkatan satu. Kau sahabat yang sangat baik, Yam. Aku takkan lupa kau dalam setiap doa aku," kata Aiza di sisi pusara Mariam, sebelum melangkah pulang kembali ke asrama.


Kisah duka yang berlaku ketika mereka sama-sama menuntut di tingkatan lima masih segar di ingatan Aiza, meskipun sudah 20 tahun berlalu.


Tanggal 5 Syawal tidak akan dilupakan Aiza kerana tarikh itulah dia kehilangan sahabat baiknya.


Aiza juga tidak pernah gagal menziarahi pusara Mariam setiap kali Syawal sejak pemergian sahabatnya itu, termasuklah pada tahun ini.


Sumber : mStar Online

Post a Comment

0 Comments