Ticker

6/recent/ticker-posts

Netizen teruja lihat Ryan Bakery cicah lemang dengan sekaya

 



Sudah menjadi resam, ketupat dan lemang yang menjadi sajian wajib Aidilfitri, enak dinikmati dengan rendang serta kuah kacang.


Namun, pempengaruh popular yang sudah bergelar pelakon dan penyanyi, Ryan Bakery ada cara tersendiri memakan ketupat dan lemang yang mungkin kedengaran agak pelik kepada orang lain.


Sejak kecil, Ryan sudah biasa menjamah ketupat atau lemang yang dicicah dengan sekaya yang masih diamalkan hingga sekarang.


"Sejak kanak-kanak lagi saya sudah tertarik selepas suka-suka cicah ketupat bersama sekaya... Rasanya sedap.


"Sampai hari ini, setiap kali makan ketupat atau lemang, saya cicah dengan sekaya. Apabila saya bercerita dengan kawan-kawan, ramai yang anggap selera saya pelik.



"Hakikatnya, rasa ketupat dan lemang yang dicicah dengan sekaya enak. Boleh dikatakan juadah ini kegemaran saya. Kalau tak percaya, boleh cuba," katanya kepada BH Online.


Kali pertama meraikan Aidilfitri dengan status suami selepas bernikah dengan wanita pilihan, Elyia Ibrahim pada Oktober tahun lalu, Ryan atau nama penuh, Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 28, beraya di kampung isteri di Melaka.


"Ketika bujang, saya beraya di dua tempat, iaitu di kampung emak saya di Pahang dan sebelah ayah di Perak.


"Apabila sudah berkahwin, kita beraya di kampung isteri. Dari segi bajet raya, tidaklah berhabis banyak. Saya tiada bajet tertentu pun.


"Apa yang pasti, sebelum hari raya, saya sudah sediakan barang dapur di rumah emak dan ibu mentua di Melaka.


"Dari segi duit raya pula, jumlah yang diberi ikut turutan dalam keluarga. Kalau balik kampung sebelah ayah, anak buah sangat ramai.


"Di Melaka, keluarga tidak berapa besar. Jadi, bolehlah berjimat. Jumlah minimum duit raya saya adalah RM2," katanya.



Ditanya apakah sudah bersedia rumahnya diserbu peminat berikutan populariti mencanak-canak, pelakon drama Dendam Hantu Latah ini sudah melalui pengalaman itu, tahun lalu.


"Ketika beraya di kampung emak tahun lalu, rumah kami kena serbu peminat.


"Sampai tak menang tangan emak layan tetamu. Mujur tetamu tak beraya sampai lewat malam.


"Emak kepenatan macam orang sakit gout lagaknya," katanya sambil ketawa.


Ryan menyifatkan Aidilfitri tahun ini cukup bermakna, selain sudah berumah tangga, banyak impian tercapai.


"Baru-baru ini, saya menang Anugerah Digital Content Creator Tergempak pada Gempak Most Wanted Awards 2022.


"Selain itu, saya baru melancarkan single berjudul Raya Last Minit bersama Andi Bernadee.


"Dua perkara ini menghadiahkan kenangan terindah buat saya. Ini menjadikan sambutan lebaran tahun ini lebih bermakna.


"Tercapai hajat saya untuk menghadiahkan lagu raya dan video muzik untuk peminat dan pengikut media sosial," katanya yang bakal muncul dengan filem sulung, Zim Zim Ala Kazim yang berinspirasikan kisah benar dalam kehidupan pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias.


Sumber : Berita Harian Online

Post a Comment

0 Comments