Pihak polis diminta menyiasat perakam video membabitkan pasangan kekasih muda yang didakwa melakukan perbuatan jelik di dalam kereta di kawasan tempat letak kenderaan di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, 29 Mac lalu.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, siasatan terperinci itu penting memandangkan beliau mendapat maklumat daripada suspek bahawa perakam video didakwa menyamar sebagai anggota polis ketika kejadian itu.
"Kita dimaklumkan bahawa pihak yang merakam video terbabit telah menyamar sebagai anggota polis.
"Perakam juga dikatakan cuba meminta kad pengenalan daripada suspek dan apabila mereka enggan mengikut arahan, mereka diugut oleh perakam.
"Mereka kemudian cuba melarikan diri tetapi dikejar oleh perakam sehingga tiba di Balai Polis Pasir Putih," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Puah yang juga Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor berkata, beliau sedia memberikan perkhidmatan guaman secara pro-bono kepada pasangan terbabit.
"Saya bersama seorang lagi peguam iaitu Tan Chia Wei akan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, esok untuk mendapatkan butiran lanjut kes berkenaan.
"Saya dan Chia Wei telah berjumpa dengan pasangan itu dan keluarga mereka di Pusat Khidmat pada 12 tengah hari tadi untuk memberi nasihat dan bantuan guaman pro-bono.
"Selepas mendengar cerita daripada suspek, pandangan saya adalah sekiranya pasangan itu disabitkan bersalah, ia akan membawa impak negatif kepada mereka.
"Ini kerana mereka disiasat bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan, jika disabit bersalah, hukuman adalah penjara tidak melebihi dua tahun, manakala orang di bawah 18 tahun pula akan dihantar ke sekolah pemulihan," katanya.
Bagaimanapun, Jimmy tidak menafikan dari sudut moral, perbuatan pasangan berkenaan kurang sesuai, namun untuk dihukum dengan penjara adalah terlalu berat.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak polis akan meneruskan siasatan dan memberi gambaran lengkap berhubung kejadian berkenaan.
Semalam, lelaki berusia 22 tahun dan pasangannya berusia 17 tahun direman dua hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk siasatan lanjut kerana melakukan perbuatan jelik.
Sumber : Harian Metro
0 Comments