Ticker

6/recent/ticker-posts

(VIDEO) Pemandu lori didenda RM10,000 selepas pindah kambing tanpa kebenaran

 


Seorang pemandu lori telah didenda RM10,000 di Mahkamah Majistret Setiu atas kesalahan memindahkan 62 ekor kambing bernilai RM28,470 tanpa kebenaran pada hari ini.


Keputusan itu diumumkan oleh Majistret Ainis Abu Hassan Shaari selepas tertuduh, Abli Abdullah, 46, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.


Selain itu, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara selama 20 bulan jika gagal membayar denda tersebut.


Mahkamah juga memerintahkan agar 62 ekor kambing yang dipindahkan tanpa kebenaran itu dilucutkan haknya dan wang hasil jualan ternakan menjadi hasil kerajaan.



Menurut pertuduhan, tertuduh telah memindahkan 62 ekor kambing dengan menggunakan lori tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar yang diberi kuasa olehnya.


Kesalahan tersebut dilakukan di tepi jalan Kota Bharu, Kuala Terengganu, Setiu pada 13 Oktober 2022 jam 11.15 malam.


Tertuduh didakwa kerana melakukan kesalahan mengikut Perenggan i (b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu yang diwartakan di bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.


Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu iaitu Mohd Shahihan Mohd Tahar, manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.


Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments