Pempengaruh media sosial terkenal, View Chin membuat pengakuan dia telah bersedia memeluk agama Islam dan bakal mengahwini rakan sekerjanya, Amirah Aqilah atau lebih dikenali sebagai Mira.
View Chin menarik perhatian ramai di media sosial ketika ini apabila bekas isterinya, Shermine Ah Moi berkongsi bukti perbualan WhatsApp antara View Chin dan Mira di TikTok dan Facebook yang didakwa berskandal.
Menerusi satu temu bual eksklusif bersama Kosmo! semalam, View Chin berkata, dia kini dalam proses mendekatkan diri dengan agama Islam dan pada masa sama merancang untuk memperisterikan Mira dalam masa terdekat.
Katanya, ketika ini dia dan Mira masing-masing masih trauma dengan kejadian yang berlaku sebelum ini dan berjanji akan mengahwini Mira apabila keadaan kembali reda.
“Buat masa ini saya ingin uruskan masalah saya dengan Ah Moi (bekas isteri) dan apabila perkara ini sudah setel (selesai) dan kembali seperti sedia kala, saya akan mengahwini Mira.
“Ketika ini juga saya mula belajar tentang Islam dan mendekatkan diri dengan agama Islam. Saya tahu perbuatan saya selama ini dengan Mira adalah salah dan kami akan cuba memperbetulkan semua perkara itu.
“Ya, memang saya mengaku bercuti berdua bersama Mira di Bali (Indonesia) sebelum ini. Ketika itu saya sangat stres dan Mira bimbang tentang keselamatan saya, sebab itu dia menemani saya ketika itu,” katanya.
Mengulas lanjut, View Chin berkata, dia sudah lama menanam niat untuk menjadikan Mira sebagai isteri selepas dia mengetahui kecurangan Ah Moi sejak tahun 2020.
Jelasnya, Mira bukan sahaja kakitangan di syarikatnya, malah wanita itu sebagai rakan rapat yang mengetahui semua berkenaan dirinya termasuk soal perniagaan serta peribadi.
Tambahnya, Mira juga bagaikan tempat meluahkan perasaan dan wanita itu juga mengetahui tentang apa yang berlaku antara dia dan bekas isterinya.
“Mira tahu semua, tentang kecurangan Ah Moi, tentang Ah Moi pernah ugut saya. Sebab itu saya pilih Mira, bukan sebab paras rupa atau wang, yang penting dia boleh menerima anak-anak saya.
“Dia antara staf dan teman paling rapat, sangat baik, prihatin dan sentiasa memahami perasaan saya. Saya selesa meluahkan segalanya kepada Mira,” luahnya.
Katanya lagi, hubungan antara dia dan Ah Moi sebenarnya sudah lama berakhir, iaitu sejak Disember tahun lalu.
Dia memilih untuk mendiamkan diri berkenaan kes penceraiannya bersama Ah Moi kerana mementingkan masa depan anak-anaknya dan juga reputasi Ah Moi sebagai ibu kepada anak perempuan mereka.
Ketika ditanya kedudukan Ah Moi dan Mira dalam syarikat, View Chin memaklumkan kedua-duanya masih bekerja dalam syarikat tersebut.
“Ah Moi masih lagi ‘lady boss’ dan begitu juga Mira rakan kongsi saya di syarikat tersebut, namun kedudukan Ah Moi dalam syarikat akan saya tentukan selepas ini sekiranya dia mengambil sebarang tindakan termasuk undang-undang.
“Mira banyak uruskan syarikat bersama saya selama ini, dari uruskan ‘live’ di TikTok sehinggalah urusan marketing dan sebagainya.
“Jadi buat masa ini, Mira terpaksa ‘bersembunyi’ kerana dia masih trauma dengan apa yang berlaku termasuklah keluarganya yang turut terpalit,” katanya sambil memberitahu masih berhubung dengan Mira melalui panggilan telefon.
View Chin memberitahu, setakat ini dia belum mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas Ah Moi.
MIRA bagi View Chin bukan sahaja kakitangannya, malah sebagai rakan rapat yang mengetahui semua berkenaan dirinya.
Bagaimanapun, tegasnya, jika Ah Moi terus mengugut atau menghalangnya daripada berjumpa anak-anaknya, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
Krisis rumah tangga pasangan View Chin dan Ah Moi bergolak selepas wanita itu mendedahkan kecurangan bekas suaminya di media sosial, baru-baru ini.
Berdasarkan perkongsian Ah Moi, dia mendakwa View Chin curang dengan seorang pekerja dikenali sebagai Mira semasa dia dalam pantang.
Sumber : Kosmo
0 Comments